Wednesday, February 18, 2009

KEPALA PECAH DIGILIS BAS

GEORGETOWN: Perjalanan pulang seorang gadis selepas bekerja di sebuah restoran di pusat beli-belah di Queensbay, Bayan Lepas berakhir tragedi apabila maut digilis bas dalam kemalangan di Jalan Sungai Dua di sini, tengah malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah malam membabitkan sebuah motosikal jenis Honda Wave 125X yang ditunggang Sharon Ng Ching Fen, 18, dengan sebuah bas Rapid Penang serta sebuah kereta.

Jurucakap polis berkata, mangsa dari Lengkok Nipah, Sungai Nibong dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat bekerja di kompleks beli-belah berkenaan.Beliau berkata, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta yang dipercayai cuba memotong bas berkenaan sebelum hilang kawalan menyebabkan motosikal mangsa terjatuh ke kiri jalan raya.


Katanya, akibat kemalangan itu, bas yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh dan menggilis mangsa mengakibatkan kepala dan badan mangsa terperosok di bawah bas.


“Kepala mangsa yang pecah digilis ditemui bertaburan di atas jalan menyebabkan mangsa mati serta-merta di tempat kejadian.

“Pemandu bas Rapid Penang itu dipercayai dalam perjalanan ke depoh bas yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian selepas mengisi minyak,” katanya.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati rumah mangsa terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian dan kereta yang bergesel dengan motosikal mangsa dipercayai melarikan diri.

Menurutnya, susulan kejadian itu, bas yang menggilis mangsa ditinggalkan kira-kira 200 meter di hadapan pintu masuk laluan ke depoh berkenaan.

Katanya, pemandu bas itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) berhubung kemalangan itu.“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada pemandu bas.

Beliau berkata, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan boleh menghubungi IPDTL Cawangan Trafik di talian 04-2181822

2 comments:

  1. kesian wanita tu...tak sempat nak kawin dah arwah...takziah

    ReplyDelete
  2. budak perempuan 2 sebaya kita lak
    belom sempat dapat result spm lg

    ReplyDelete